Jangan perlekeh usaha saya – Daiyan Trisha

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Daiyan Trisha terkilan apabila kemampuannya sebagai penyanyi dan komposer baharu dipertikai segelintir pihak gara-gara gimik yang dilakukan ketika memperkenalkan lagu terbarunya, Langit.

Daiyan atau nama penuhnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin 24, berkata, muzik sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya, malah dia bekerja keras merealisasikan impian untuk dikenali sebagai penyanyi yang baik.

“Mereka menyelar saya tidak bekerja keras dan memperkecilkan karya saya hanya kerana gimik itu. Tahukah mereka, semua yang saya peroleh hari ini tidak datang dengan mudah?

“Saya memerah idea menghasilkan lagu, belajar bermain pelbagai alatan muzik dan membaca nota untuk melengkapkan diri sebagai anak seni berilmu. Jadi, apabila ada pihak yang mempersoalkan kredibiliti saya dalam kerja seni, memang saya terkilan,” katanya kepada BH Online.

Daiyan berkata, tanggapan itu semakin menjadi-jadi selepas dia melakukan gimik untuk memperkenalkan single terbarunya, tiga minggu lalu. Mereka yang tidak berpuas hati dengan strategi promosi itu menggunakan peluang itu untuk menghentamnya di beberapa laman sesawang.

Bagaimanapun, kata Daiyan, dia bersikap terbuka, malah menerima kenyataan tidak semua peminat muzik menyukai nyanyian dan persembahannya kerana setiap individu mempunyai cita rasa tersendiri.

“Itu pendapat masing-masing dan mereka berhak untuk tidak menyukai lagu yang saya bawakan. Saya juga mempunyai selera muzik tersendiri, selain meminati dan mengagumi penyanyi tertentu.

“Itu perkara biasa, tetapi jangan sehingga memperlekeh usaha orang lain,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Langit, Dayan bersyukur apabila lagu itu mendapat maklum balas yang baik daripada peminatnya.

Daiyan juga mampu berbangga apabila lagu itu mengungguli carta iTunes minggu lalu, selain video muzik Langit ditonton lebih 200,000 kali sejak dimuat naik di YouTube pada 20 Ogos lalu.

“Teruja rasanya apabila lagu sendiri berada dalam carta iTunes. Meskipun hanya bertahan seminggu sebelum kedudukan itu diambil alih kumpulan K-Pop, BTS, saya anggap percubaan terbaru ini berhasil.

“Penerimaan positif peminat menjadi pembakar semangat untuk saya tampil dengan karya yang lebih baik. Saya masih menanti lagu ini diputarkan stesen radio. Saya berharap Langit akan memberi warna dalam landskap industri muzik kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Daiyan juga sedang menyiapkan album Inggeris yang dijangka akan dilancarkan pada awal tahun depan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *