Mawi dedah pengalaman mistik dalam buku autobiografi

KUALA LUMPUR: Tahun 2019 bakal menjadi detik gemilang buat artis serba boleh, Mawi, apabila dia bukan sahaja bakal muncul dengan filem sulung arahannya, malah akan tampil dengan buku autobiografi hasil tulisan sendiri.

Menurut pemilik nama lengkap Asmawi Ani ini, buku berkenaan akan mendedahkan secara eksklusif pengalamannya ketika mula-mula bergelar anak seni, selain kisah suka-duka sepanjang 13 tahun berada dalam dunia ‘showbiz’.

“Selama ini masyarakat hanya melihat perkara yang indah mengenai diri saya, seperti soal populariti dan hidup dalam dunia glamor. Bagaimanapun, mereka tidak tahu perasaan sebenar saya sepanjang empat tahun pertama menjadi artis.

“Buku terbabit akan menceritakan keadaan saya yang seperti hilang punca disebabkan populariti segera. Bayangkan, daripada orang biasa tiba-tiba saya menjadi terkenal.

“Saya akan dedahkan juga bagaimana diri ini berdepan perkara mistik berikutan populariti yang diraih,” kata juara Akademi Fantasia musim ketiga itu kepada BH Online.

Walaupun buku berkenaan banyak menceritakan kisah di sebalik tabir dan bersifat peribadi, pemegang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2005-2007 ini memberi jaminan, tiada insan yang berasa hati apabila membaca naskhah itu nanti.

“Saya memang peka dengan perkara terbabit. Atas alasan itu, saya akan lebih berhati-hati apabila menulis buku ini supaya ia tidak menyinggung perasaan sesiapa.

“Insya-Allah, buku hasil tulisan saya ini akan berada di pasaran pada tahun depan. Saya juga bercadang untuk mengeluarkannya secara serentak dengan filem pertama arahan saya,” ujarnya.

Mengenai naskhah yang belum diberikan judul itu, penyanyi, penyampai radio, pengarah dan pelakon berusia 37 tahun ini berkata, filem terbabit kini masih dalam peringkat suntingan.

sumber : bharian online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *