Suami tembak isteri sebelum bunuh diri di Sungai Golok

SUNGAI GOLOK: Seorang pegawai polis menembak mati isterinya sebelum membunuh diri di hadapan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di Sungai Golok di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand.Menurut polis, kejadian pada 5.50 petang semalam (waktu tempatan) itu, dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.

“Kanak-kanak berkenaan yang masih berpakaian sekolah ditemui di tempat duduk belakang kereta itu dalam keadaan ketakutan dan sedang menangis,” kata Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Prayuth Ponsanti kepada pemberita.

Pegawai polis terbabit dikenali sebagai Kapt Boonyawat Trakulprom, 28, bertugas di Mahkamah Narathiwat, manakala isterinya pula dikenali Nattanan Trakulprom, 30, ialah seorang guru.Seorang pegawai polis Thailand dipercayai menembak mati isterinya yang juga merupakan seorang guru sebelum bertindak membunuh diri di hadapan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di Sungai Golok, wilayah Narathiwat di selatan Thailand lewat petang semalam. – Foto BERNAMA

Nattanan masih memakai pakaian seragam guru ketika mayatnya yang berlumuran darah ditemui dalam kereta itu.

Mayat Nattanan ditemui di tempat duduk penumpang, manakala mayat suaminya di tempat duduk pemandu.

Prayuth berkata, anak perempuan pasangan itu memberitahu polis, ibu bapanya bertengkar dalam kereta sebelum bapanya mengeluarkan pistol dan menembak ibunya sebelum menembak dirinya sendiri.

Menurutnya, kelongsong peluru yang ditemui dalam kereta terbabit adalah daripada pistol Boonyawat. – Bernama

sumber : bharian online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *