Niat saya kongsi ilmu – Asmidar

KUALA LUMPUR: Sedar mungkin dituduh tidak ‘laku’ hingga terpaksa beralih arah membuka kelas vokal, Asmidar enggan mengambil peduli tanggapan segelintir netizen.

Sebaliknya, bekas juara program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa ini tidak sabar berkongsi ilmu dengan mengajar skil nyanyian kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas.

“Saya baru melangkah mengejar impian berkongsi serba sedikit ilmu dalam bidang nyanyian.

“Selain menyanyi, saya juga berminat untuk menjadi pengajar sejak bergerak dalam bidang seni.

“Atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, saya terdorong membuka kelas nyanyian yang pernah diusahakan sebelum ini,” katanya kepada BH Online.

Asmidar yang pernah popular dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang mengaku pernah membuka kelas vokal namun terpaksa ditutup kerana masalah lokasi.

“Jadi, sudah tiba masanya saya mengejar impian dan tidak mempedulikan kata-kata negatif kononnya saya sudah tidak mendapat tawaran membuat persembahan.

“Alhamdulillah… Saya cuma ingin mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Asmidar memberitahu dia bakal memulakan kelas vokal di On Stage Studio Arts Valet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, tidak lama lagi.

“Saya akan memulakan kelas di studio sama dengan rakan pengajar, Sarah Ismail dan Hanafi Rosdi.

“Buat masa ini, kadar yuran belum ditetapkan,” katanya.

sumber : bharian online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *