80 peratus kemalangan disebabkan kesilapan manusia

KUALA LUMPUR: Antara faktor kemalangan yang sering berlaku di lebuh raya adalah memandu laju dan terbabas. Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, berkata selain itu faktor letih dan mengantuk juga menyebabkan pemandu hilang tumpuan dan menyumbang kepada kemalangan.

“Berdasarkan statistik, faktor kesilapan manusia menyumbang kepada lebih 80 peratus kemalangan. Namun tidak dinafikan faktor-faktor lain seperti jalan dan persekitaran serta kenderaan juga memainkan peranan. “Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan keselamatan perjalanan. Pemandu perlu memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang baik, memandu mengikut peraturan dan pihak berkuasa perlu memastikan keadaan jalan dan persekitaran yang baik agar semua pengguna boleh melakukan perjalanan dengan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai isu prosedur dan panduan kerja penyenggaraan di lebuh raya, Siti Zaharah berkata, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ada mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan bagi kerja-kerja penyenggaraan rutin. “Pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan SOP dan Garis Panduan ini dipatuhi. “Selain itu, kami mencadangkan supaya setiap aktiviti penyenggaraan dimaklumkan kepada pengguna lebuh raya dari masa ke semasa, contohnya melalui Variable Messaging Signs (VMS). “Adakan pelan pengurusan trafik yang sempurna setiap kali aktiviti penyenggaraan dijalankan dan guna papan tanda lalu lintas yang bersesuaian bagi memberi amaran awal kepada pengguna jalan raya mengenai kerja-kerja di hadapan. “Pekerja penyelenggara juga perlu dipastikan agar sentiasa mematuhi etika pakaian selamat dan peralatan perlindungan diri,” katanya

sumber : bharian online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *