Solat untuk sihat

Semua ibadat yang diperintahkan Allah SWT memberikan kesan positif buat pelakunya. Mukjizat sains disingkap oleh pakar satu demi satu dalam ibadat rutin yang kita laksanakan.

Dengan berkembangnya ilmu pengetahuan, kita mendapat pengertian dan hakikat ilmiah yang begitu menakjubkan.

Kita diajar beribadat dengan iman iaitu dengan mengatakan ‘Sami’na wa atha’na’ (kami dengar dan kami taat). Namun, kita juga digesa Allah SWT untuk terus memanfaatkan akal fikiran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Al-Quran ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam. Dan sesungguhnya kamu akan mengetahui (kebenaran) berita al-Quran setelah beberapa waktu lagi.” (Shad, ayat 86-87)

Manusia mencari pelbagai cara untuk hidup dengan sihat. Benarlah kata-kata, ‘Mencegah lebih baik daripada merawat.” Pentingnya ibadat, ia mampu mencegah pelbagai jenis penyakit sama ada dari sudut fizikal, mental mahu pun sosial.

Ia terbukti secara ilmiah dari sudut perubatan. Dalam kajian pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim yang juga penulis buku Solat Dari Perspektif Sains mendapati ada kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan, denyutan jantung dan rawatan mati pucuk. Ternyata, manusia memerlukan solat untuk hidup lebih sihat. Ia keperluan bukan beban. Dengan solat, seseorang dapat kerehatan dan menjadi tempat mereka memohon pertolongan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dijadikan penyejuk mataku ada di dalam solat. Wahai Bilal rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i)

Kini terdapat banyak pusat kesihatan di seluruh dunia mengubati penyakit dengan berpuasa. Puasa sebagaimana puasanya umat Islam adalah paling ideal dan pertengahan untuk diamalkan.

Seorang saintis Jepun, Yoshinori Ohsumi memenangi hadiah Nobel 2016 kerana membuat kajian demi kajian berkaitan ibadat puasa.

Kajian beliau membolehkan pengkaji di seluruh dunia dapat memanipulasi autofagi (mekanisme sel menghancurkan komponennya yang tidak berfungsi) untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser, memulihkan penyakit diabetes dan menyekat jangkitan virus.

Dalam ibadat zakat pula, ia bagaikan transaksi kita dengan Allah SWT. Ia turut memberikan kesan ketenangan jiwa selepas dibersihkan daripada sifat tamak haloba.

Jiwa lebih tenang dengan semangat memberi. Masyarakat yang kurang kemampuan pula akan bersih jiwanya daripada sifat dengki, bahkan berasa diambil berat dan dibantu.

Apabila melaksanakan ibadat haji, bererti kita sedang menuju kepada Allah dan melupakan segala urusan lain yang tidak ada hubungannya dengan Allah.

Ia satu ibadat yang sangat memberi kesan besar kepada seseorang yang mahu melupakan dosa silam dan memulakan hidup baru yang lebih baik.

Motivasinya boleh di dapati daripada hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umrah kepada umrah yang seterusnya dapat mengkifaratkan dosa antara kedua-duanya dan haji mabrur tiada balasan kecuali syurga.” (Riwayat al-Bukhari – 1773 & Muslim – 1349)

Menurut perbincangan ulama, makna mabrur mengikut pendapat paling sahih ialah tidak dicemari dengan dosa.

Dikatakan juga sebagai maqbul (diterima). Antara tanda mabrurnya haji seseorang apabila dia pulang dalam keadaan sikapnya yang lebih baik daripada sebelumnya.

Beliau juga tidak mengulangi kisah hidup yang bergelumang dengan dosa, alpa dan maksiat. Meskipun ritual ibadat yang diperintahkan kepada kita hanya berupa gerakan yang mudah, namun apabila dikaji, ia banyak memberi kesihatan emosi, mental dan fizikal.

Lebih penting, ia membawa kepada keredaan Allah dan memudahkan perjalanan kita menuju syurga. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu), dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela, kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas, dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mu’minin, ayat 1-11)

Ibadat solat, puasa, zakat dan haji adalah Rukun Islam. Apabila dikaji, ia ternyata berperanan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.

Umat Islam perlulah menghargai dan mensyukuri nikmat Rukun Islam itu dan mengamalkannya secara bersungguh-sungguh.

Lakukannya dengan penuh ikhlas kerana Allah SWT akan menganugerahkan nikmat kesihatan, in- sya-Allah. Namun, ikhtiar saintifik lain juga jangan ditinggalkan.

Apabila usaha kita lebih menyeluruh, kesannya juga pasti lebih baik.

Walau apapun penemuan sains, kita perlu sentiasa ingat bahawa syariat Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji termasuk ibadat yang bersifat madhah dan mengikat bagi setiap umat Islam.

Seharusnya ia dilaksanakan dengan penuh kesedaran. Sebab itulah, generasi awal terdahulu tetap beribadat kerana mereka yakin setiap syariat, baik berupa perintah atau larangan pasti ada hikmah dan manfaat yang kembali kepada orang yang melaksanakannya.

Mereka setia mentaati Allah SWT meskipun belum banyak antara manusia mengetahui hikmah dan manfaat syariat pada masa itu.

Pada zaman ini, kita yang dianugerahkan pengetahuan hasil penemuan sains terhadap hikmah ibadat sepatutnya dapat meningkatkan lagi iman kita. Dalam kajian ilmiah oleh Dr Jamal Muhammad Az-Zaki dalam buku Hidup Sihat Tanpa Ubat beliau mendedahkan perkaitan antara syariat dan kesihatan manusia yang bersifat fizikal dan mental.

sumber : harianmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *