U Mobile perkenal pelan data Giler Unlimited

KUALA LUMPUR: U Mobile memperkenalkan Giler Unlimited, pelan data tanpa had bagi semua aplikasi telefon pintar pada harga RM50 untuk pelan pascabayar GX50 dan RM30 bagi pelan prabayar GX30.

Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee berkata, ditawarkan pada harga berpatutan, pelan berkenaan tidak mempunyai had tempoh masa atau penggunaannya berbanding pelan data lain yang berada di pasaran.

Beliau berkata, pengguna boleh menikmati penstriman muzik dan video, menghantar mesej sosial, melayari media sosial, bermain permainan mudah alih serta strim secara langsung setiap hari pada bila-bila masa tanpa kebimbangan.

Katanya, U Mobile sentiasa mementingkan penciptaan idea tanpa batasan bagi memberi peluang kepada pelanggan setianya untuk memaksimumkan pengalaman gaya hidup digital mereka.

“Kami percaya Giler Unlimited akan menjadi tanda aras yang baru kepada industri kerana pelanggan boleh menikmati pelan data tanpa had bermula pada harga serendah RM30.

“Ia adalah pengalaman penggunaan data yang unggul kepada pelanggan, malah terbukti pelan ini adalah tawaran yang terbaik yang berada di pasaran setakat ini,” katanya pada majlis pelancaran Giler Unlimited di sini, hari ini.

Selain mempunyai data tanpa had bagi semua aplikasi, pelan pascabayar GX50 itu turut mempunyai kelebihan panggilan tanpa had serta kuota kawasan khas (hotspot) percuma sebanyak 5GB.

Bagi pelan prabayar GX30, pelanggan dapat menikmati data tanpa had dengan kuota kawasan khas percuma pada harga RM30 yang bersamaan dengan RM1 sehari, iaitu tawaran nilai terbaik kepada pengguna setianya.

Lee berkata, pihaknya mahu memberi cetusan kepada industri dengan memperkenalkan produk sedemikian dengan harapan ia turut mendapat reaksi oleh syarikat telekomunikasi yang lain.

“Sejak tiga tahun lalu, U Mobile adalah syarikat pertama yang memulakan penawaran segmen pelan data tanpa had mampu milik pertama di negara ini.

“Kami berharap pemain industri yang lain akan turut mengambil peluang dengan mengikuti jejak langkah U Mobile yang akan memberi manfaat keseluruhannya kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, baru-baru ini, Frost & Sullivan turut menamakan U Mobile sebagai penyedia terbaik bagi pelan data, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap jenama syarikat telekomunikasi itu.

sumber : Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *